♥ ukhwah fillah♥

22 January 2012

Mencari Erti Sebuah Perkahwinan




Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan.
Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa.
Ketika nabi Adam tinggal di Syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan.
Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud "Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya."
Berkahwin Kerana Ibadah
Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama.
Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahwat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah.
Kerana itulah, setiap Muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali.
Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah.
Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh.
Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah S.A.W. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani dan al-Baihaqi, Rasulullah S.A.W bersabda:
"Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku."
Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas.
Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan.
Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga.
Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.
Cinta Dan Kasih Sayang
Cinta dan kasih sayang adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam di antara suami isteri berpaksikan Islam.
Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila telah tiada di dunia nanti.
Justeru hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap Baitul Muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan.
Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerana fitrah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang.
Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah ar-Rum:30 :
"Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan Tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."
Tarbiyah Dan Pendidikan
Pendidikan adalah tema penting dalam sesebuah perkahwinan mithali.
Kecemerlangan dan kehebatan anak-anak yang menjadi tunjang dan penyeri sebuah keluarga bermula daripada pendidikan yang diberikan oleh ibubapa.
Haluan yang dipilih perlulah ditapis daripada elemen-elemen yang tidak sihat yang menjadi punca keruntuhan sebuah keluarga.
Perlu diingatkan bahawa anak-anak adalah aset yang mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.
Pentarbiyahan dan pendidikan yang diterapkan perlu berteraskan ketauhidan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul seterusnya menjunjung al-Quran sebagai kalam Allah yang tidak ada keraguan baginya.
Ibu dan bapa yang prihatin akan sentiasa membentengi anaknya daripada kebejatan moral dan akhlak yang tenat pada mutakhir ini seperti vandalisme, hedonisme dan materialisme yang menatijahkan keruntuhan Iman dan akhlak anak-anak mereka.
Begitu juga, pendidikan anak-anak bukan hanya terpikul di atas bahu ibu atau bapa sahaja, malah kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk keluarganya ke arah keluarga mithali yang hebat dan cemerlang.
Lelaki atau bapa merupakan ketua bagi setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud:
"Kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan)."
Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar. Isteri pula perlu mengembelingkan segala potensi kelembutan, ketabahan dan kepekaannya untuk mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik.
Pendidikan anak akan menentukan keindahan dan kejayaan perkahwinan mithali untuk jangka masa yang panjang.
Kita melihat fenomena hari ini di mana anak-anak berselerak dan terbiar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak mithali.
Ibu bapa melepaskan tangan dalam perjuangan mendidik anak-anak.
Amat malang sekali sekiranya kita berbuih mulut bercakap tentang perjuangan Islam sedangkan anak-anak seperti itik yang terlepas dari kandang, terbiar dan membawa diri dalam dunia sendiri.
Sebelum berkahwin sepatutnya pasangan lelaki dan perempuan mendalami dan memfaqihkan diri tentang ilmu-ilmu selok belok rumahtangga. Paling penting kedua-dua pasangan perlu sembahyang dan taat kepada perintah Allah.
Ibu Bapa Mithali
Perkahwinan mithali bermula dari ibu dan bapa yang mithali.
Kita pasti berasa malu sekiranya pasangan suami isteri tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak dek kerana kejahilan tentang Islam yang disengajakan.
Kita tidak mahu ibu dan ayah hanya terkelu lidahnya apabila diminta anaknya mengajar tentang solat, doa-doa harian dan bacaan al-Quran yang betul.
Contoh terunggul perkahwinan mithali tentunya datang dari junjungan mulia Rasulullah S.A.W.
Baginda Rasulullah selaku suri teladan sepanjang zaman telah meletakkan Khadijah binti Khuwailid sebagai wanita pertama yang bertakhta di hati baginda dan berjaya menakluki hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam.
Keindahan perkahwinan baginda terungkap dalam pergaulannya dengan Khadijah dan isteri-isteri yang lain.
Kehadiran putera dan puteri serta cucu baginda telah menyerikan lagi kehidupan keluarga Rasulullah.
Mengimpikan sebuah perkahwinan mithali, hanya tinggal mimpi jika kita tidak menyelak kembali sejarah hidup baginda sekeluarga yang amat indah itu.
Tegasnya perkahwinan mithali yang aman dan bahagia adalah impian pasangan suami isteri.
Namun bukan semua rumahtangga mampu melakar dan mengekalkan kebahgiaan.
Terdapat rumah tangga yang tergadah dengan kekusutan yang tiada jalan penyelesaian malah penceraian menjadi kemuncak pemilihan kerana kemurkaan terhadap hambanya.
Janganlah gelanggang perkahwinan hanya satu platform atau pentas untuk bersandiwara atau bercengkerama tanpa dihiasi dengan keilmuan dan amalan yang berterusan.
Perkahwinan bukan hanya satu testing ground tetapi ia adalah realiti yang perlu ditempuhi dengan kearifan, kesabaran dan kejituan Iman.
sumber : Artikel iluvislam.com

Original Source: http://www.pendekarberkuda.org/2011/04/tutorial-blog-cara-letak-button-share.html#ixzz1k6JZUYTy Under Creative Commons License: Attribution Share Alike

21 January 2012

Chocolate Banana Popsicle







Tiba sahaja waktu tengahari dan waktu sekolah tamat, biasanya kiri kanan jalan dihiasi dengan tawa kanak-kanak yang riang mengejar loceng motor si penjual aiskrim.
Kepada ibubapa, nanti dulu! Anda tidak lagi perlu menghabiskan wang untuk membeli aiskrim yang mahal-mahal tersebut, malahan tidak berkhasiat pula.
Sebaliknya, jom cuba resepi yang murah, boleh dibuat di rumah ini sebagai satu cara memenuhi masa lapang anak-anak, malah menggalakkan mereka memakan buah-buahan berkhasiat.
Resepi ini adalah satu projek menarik untuk kanak-kanak, dan juga untuk anda! Anda dapat mengasah kreativiti masing-masing (atau anak-anak anda) untuk menghias serta mencorakkan aiskrim masing-masing. Siapa yang tidak gemarkan aiskrim ketika cuaca panas terik, kan? (^_^)v



Bahan-bahan dan Peralatan
* 3 biji pisang yang tidak terlalu masak
* 150 gram cokelat separa manis
* 150 gram cokelat putih
* 3tsp shortening (vegetable fat)
* Sprinkles warna-warni
* Sprinkles cokelat
* 6 batang kayu aiskrim
* Kertas minyak (parchment paper)
* Measuring spoons
* 2 mangkuk kecil
* 2 sudu
* Cutting board
*Resipi untuk 6 batang aiskrim.


Cara-cara
01.Kupas kulit pisang dan potong pisang kepada dua bahagian. Cucuk kayu aiskrim di pisang tersebut hingga ke bahagian tengahnya, menjadikannya seperti aiskrim. Ketepikan "aiskrim-aiskrim" tersebut di atas cutting board atau piring plastik dan letakkannya di dalam freezer peti sejuk sementara anda persiapkan bahan-bahan lain. Pisang yang sejuk akan membuatkan cokelat mengeras lebih cepat.

02.Bentangkan kertas minyak di atas meja. Sediakan sprinkles. Masukkan cokelat separa-manis dan 1 1/2 tsp shortening ke dalam sebuah mangkuk. Microwavekan ia pada kekuatan 100% selama 30 saat. Kemudian, kacau, serta microwavekan sekali lagi. Ulang untuk kali ketiga, jika perlu, sehingga cokelat tersebut telah benar-benar cair. Ulangi untuk cokelat putih.
03.Ambil satu pisang dari dalam freezer (satu persatu). Letakkan di atas kertas minyak tersebut, dan tuangkan adunan cokelat tadi ke atasnya. Golek-golekkan pisang tersebut sehingga cokelat telah menyaluti kesemua permukaan pisang.

04.Hiaskan pisang tersebut dengan sprinkles yang anda sukai. Gunakan kreativiti anda atau anak anda untuk menghias pisang tersebut. Pegang pisang tersebut selama lebih kurang seminit, untuk membiarkan cokelat dan sprinkles tersebut melekat dengan kukuh. Setelah itu masukkan kembali ke dalam freezer.

05.Kaut/kikiskan/cedok kembali lebihan cokelat di atas kertas minyak sebentar tadi, dan masukkan kembali ke dalam mangkuknya. Cairkan semula dengan memasukkan ke dalam microwave sekali lagi selama 30 saat, jika ia terlalu pekat. Ulangi langkah-langkah di atas untuk baki pisang yang ada.
Setelah semua pisang telah siap disaluti cokelat dan dihias, masukkan ke dalam freezer peti sejuk selama 45-60 minit. Selepas itu, boleh dimakan seperti aiskrim~!
Gambar dan sumber diterjemah dari CraftZine | Editor - Mohd Syamirulah Rahim

Original Source: http://www.pendekarberkuda.org/2011/04/tutorial-blog-cara-letak-button-share.html#ixzz1k6JZUYTy Under Creative Commons License: Attribution Share Alike

sedapnya puding Caramel.yummy






Resipi yang dinanti-nanti telah tiba!
Setelah cubaan membuat puding karamel versi baru selama dua hari berturut-turut ini pada minggu lepas ternyata berjaya dan disukai seluruh ahli keluarga termasuk kawan-kawan yang berkunjung ke rumah untuk berbuka puasa, saya rasa ada baiknya sekiranya saya kongsikan resipi membuat puding karamel ini dengan anda semua di Iluvislam.com :)
Sangat mudah, bahan-bahannya sangat senang dijumpai di pasaraya. Untuk penggemar pencuci mulut, mari kita sama-sama lihat resipi puding karamel versi tidak berlubang-lubang ini. Lembut sangat! Yang penting tak perlu membazir beli kat baazar Ramadhan. Buat sendiri, jimat, dapat makan banyak kali dan sedap!
Bahan-bahan puding  :
  • 5 sudu besar gula
  • 5 biji telur (2 biji daripadanya hanya diambil kuningnya sahaja)
  • 450ml susu segar/ full cream
  • satu sudu kecil esen vanilla
  • 
Bahan-bahan karamel  :
  • 10 sudu besar gula (lebihkan jumlah gula sekiranya suka kuah karamel yang banyak)
  • Air ( kurang daripada suku cawan air atau lebih mengikut jumlah gula)
 Cara masakan :

    01.Sediakan karamel terlebih dahulu. Masukkan gula untuk karamel ke dalam periuk dan air sedikit demi sedikit. Air tidak perlu terlalu banyak tetapi jangan pula terlalu sedikit. Gunakan api yang sederhana besar, kacau gula didalam periuk tersebut sehingga berwarna keperang-perangan dan tidak terlalu pekat.
    02.Setelah itu tuangkan karamel yang telah berwarna perang tersebut kedalam loyang berbentuk bulat.
    03.Kemudian, di dalam satu mangkuk, pecahkan telur ( 2 biji telur hanya diambil kuningnya sahaja manakala 3 lagi biji telur digunakan semuanya termasuk putih telur) dan masukkan 5 sudu besar gula. Kacau sehingga sebati dan pastikan tidak begitu berbuih.
    04. Didalam periuk lain pula, panaskan 450ml susu dan tuangkan esen vanilla. Susu tersebut mestilah tidak terlalu panas. Sekadar 60 darjah celcius.
    05.Tuangkan susu yang telah panas tadi kedalam campuran telur dan gula didalam mangkuk tersebut. Kacau dan sebatikan.
    06. Tuangkan campuran telur, gula dan susu tersebut ke dalam loyang berisi karamel. Tutup loyang dengan dua lapis aluminium foil dan masukkan ke dalam oven. Setkan suhu 160 darjah celcius dan tempoh masa 50 minit. Wajib lapikkan loyang tersebut dengan dulang pembakar yang telah diletakkan air agar permukaan puding tidak hangus.
    Seperti biasa.. lepas tamat masa 50 minit, cuba buka aluminum foil dan cucuk puding menggunakan lidi atau garfu kalau puding tersebut masih cair tambahkan masa 15 minit dan bakar kembali. sekiranya puding tersebut kelihatan kenyal-kenyal (macam puding) bolehlah diangkat dan tunggu lebih kurang 30 minit sebelum disejukkan di dalam peti ais:)

Original Source: http://www.pendekarberkuda.org/2011/04/tutorial-blog-cara-letak-button-share.html#ixzz1k6JZUYTy Under Creative Commons License: Attribution Share Alike

Dengarlah Cerita Isterimu










Kita biasanya balik ke rumah selepas kesibukan kerja di pejabat dengan niat untuk berehat melepaskan penat jerih.
Ada juga dikalangan kita yang berniat balik ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian sukan dan kemudian terus ke gelanggang permainan bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat atau sepersatuan.
Tidak kurang pula yang sampai di rumah terus mengerjakan solat 'Asar dan kemudian ke halaman rumah meneruskan kerja-kerja menanam pokok bunga kesayangan kita itu.
Apabila sampai ke rumah, hanya anak-anak kita sahaja yang menyambut di pintu. Isteri kita yang "full-time-house-wife" tu, meneruskan pekerjaan biasanya seperti melipat kain, gosok baju atau menyapu halaman rumah petang-petang.
Kita pun mencium anak-anak dan terus ke bilik tidur dan membuat kerja-kerja seperti di atas tadi. Tidak ada senerio drama tv seperti isteri menyambut dan menyediakan minuman untuk suaminya, sambil suaminya pula merebahkan badannya di sofa empuk "italian set" nya itu.
Bagi isteri yang balik bersama-sama kita satu kereta pula, sepanjang perjalanan dia lelapkan matanya menghala keluar hinggalah sampai ke rumah. Tiba di rumah, masing-masing dengan urusan sendirian, sibuk macam di pejabat tadi.
Alangkah ruginya kita menpunyai pasangan yang halal tetapi hubungan kita seperti "bukan muhrim". Sudahlah kita berpisah lebih lapan jam sehari dengannya kerana bertugas di pejabat, ditambah pula dengan hubungan yang hambar apabila bersama di rumah. Dengan ini, ramailah dikalangan kita yang tidak dapat menikmati cogan kata yang popular masa kini, "Rumahku Syurgaku".
Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita analisis sketsa di atas. Semasa baru-baru kahwin, biasanya isteri kita tu lah yang menyambut kita di pintu dengan senyum manisnya dan memimpin kita ke kerusi atau ke dalam bilik tidur. Dan di situ jugalah dia akan bercerita mengadu hal peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang ketiadaan kita di rumah.
Macam-macamlah tajuknya hingga kadang-kadang naik meluat mendengarnya. Tetapi, kita pada masa itu memang pendengar yang amat baik sekali dan bersungguh-sungguh melayan cerita dan emosinya. Baru kahwinlah katakan. Tetapi sekarang semuanya itu hanya tinggal kenangan.
Wahai suami-suami yang dimuliakan,
Memang kita lebih sibuk dari dia. Memang kita lebih banyak memikirkan masalah masyarakat dan negara. Memang minat kita berbeza. Memang kita malas mendengar cakap dia. Tetapi, pernah tak kita fikirkan hasilnya jika kita mendengar sekejap ceritanya bila sampai di rumah setiap petang?
Jika kita boleh meneruskan tabiat seperti baru-baru kahwin dulu tu; menjadi pendengar yang baik, meluangkan masa dalam lima minit mendengar ceritanya sebaik sahaja kita tiba di rumah, mengangguk-anggukkan kepala dan bersetuju dengan pandangan-pandangannya, menegur ceritanya apabila dia mula nak mengumpat dengan cara yang baik - yakinlah, hasilnya nanti, dia akan rasa terhibur dan merasakan dialah orang yang paling gembira sekali pada hari itu.
Cintanya rasa berbalas apabila aduannya itu dilayan dengan belaian kasih mesra. Kusut masai semasa dia memerahkan otaknya membersih, mengindahkan rumah kita dan memasak masakan kegemaran kita, akan terurai kerana kesanggupan kita mendengarnya sembangnya itu. Tak lama wahai suami-suami, hanya lima minit sahaja yang perlu kita luangkan untuknya. Tetapi kesan boleh menceriakannya selama 24 jam untuk hari yang berikutnya.
Niatkan di hati kita untuk mendengar ceritanya sama ada dirumah atau di dalam kereta sebaik sahaja kita melangkah keluar dari pejabat. Jangan amalkan singgah dulu di kafetaria untuk minum petang dengan rakan-rakan sepejabat, ini akan menyebabkan kita merasakan isteri tidak perlu lagi melayan kita di rumah nanti. Sebab kita sudah kenyang.
Sampai di rumah mulakan dengan soalan, "Ada berita baik hari ini ke?" atau yang serupa dengannya. Yakinlah, sebulan kita amalkan, pasti isteri kita akan bersama-sama dengan anak-anak kita menyambut di muka pintu dengan senyuman meleret hingga ke telinganya. Kita juga yang akan terhibur.
Amalkanlah wahai suami!
- Artikel iluvislam.com



Original Source: http://www.pendekarberkuda.org/2011/04/tutorial-blog-cara-letak-button-share.html#ixzz1k6JZUYTy Under Creative Commons License: Attribution Share Alike