♥ ukhwah fillah♥

07 June 2011

Menu Minda Masyarakat


Manusia hidup untuk makan atau manusia makan untuk hidup. Pilih mana satu yang bersesuaian dengan diri anda. Tidak dinafikan makanan begitu penting, malah amat penting dalam menjamin manusia untuk terus hidup. Selain untuk meneruskan kehidupan manusia memerlukan makanan untuk mempastikan kekuatan dan mendapat tenaga untuk fizikal mereka. Makanan yang kurang gizinya akan mengakibatkan seseorang manusia itu lemah dan amat mudah dihinggapi penyakit.

Begitu juga sebenarnya dengan minda kita. Minda perlu diberi makanan yang cukup gizinya untuk memastikan ia boleh digunakan untuk membantu manusia mencapai impian. Capai impian dengan minda? Bukankah capai impian sepatutnya dengan usaha? Ya, itu yang selalu difikirkan oleh masyarakat, ramai yang menganggap bahawa untuk mencapai impian seseorang manusia itu perlu berusaha dengan kuat. Sebenarnya bagi membolehkan seseorang manusia itu mencapai impian mereka apa yang diperlukan adalah tenaga minda yang kuat. Untuk mendapat tenaga minda yang kuat minda harus diberi pemakanan yang berkhasiat.

Mari kita lihat apakah menu makanan minda masyarakat kita hari ini. Adakah ia cukup berkhasiat? Daripada senarai menu ini dapat kita buat satu kesimpulan mengapa masyarakat hari ini amat lemah dan kurang berdaya maju serta tiada langsung daya saingnya.

Minda Bukan Organ?
Apakah makanan minda? Minda bukanlah organ yang boleh kita sentuh atau lihat. Minda adalah tenaga yang terdapat di dalam diri manusia. Oleh yang demikian makanan yang dibekalkan tidaklah sama dengan makanan untuk fizikal. Tidak ada satu bahan makanan atau produk pun yang mampu meningkatkan tenaga minda secara langsung.

Tenaga minda boleh menjadi lemah sekiranya banyak disogokkan dengan bahan bacaan picisan, hiburan yang melampau serta pergaulan yang tidak terancang dan bebas. Masalah ini amat berleluasa sehingga telah menjadi agak sukar untuk dibendung.

Faktor Pertama: Bahan Bacaan Picisan
Apakah itu bahan bacaan picisan? Bahan bacaan picisan adalah bahan bacaan ringan yang tidak berkualiti. Pada hari ini terdapat terlalu banyak bahan bacaan picisan ini di pasaran. Lambakan ini terjadi kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat. Apabila masyarakat suka membaca bahan bacaan picisan ini, maka pihak-pihak yang tertentu mengambil peluang dengan mengeluarkan lebih banyak bahan bacaan yang tidak berkualiti ini.

Mari kita lihat bahan bacaan yang ada dipasaran. Boleh dikatakan hampir kesemua majalah, tabloid, novel, akhbar, komik, menulis topik yang sama. Cuma olahan cerita  yang berlainan. Sekian hari ini kita disogokkan dengan cerita hantu, komik kartun, kes rogol, kes bunuh, sumbang mahram, majalah lucah, edar dadah, penagihan dadah, kisah cinta tiga segi, perebutan harta, buang bayi, seks bebas, gosip artis, perbalahan politik dan terlalu banyak lagi untuk disenaraikan.

Perlu diingatkan kepada masyarakat bahawa, bahan bacaan seperti ini tidak menyumbang apa-apa kepada minda kita, sebaliknya ia boleh mengakibatkan tenaga minda kita semakin lemah. Sebenarnya ia hanyalah menyumbang kepada pembangunan ekonomi pihak yang terbabit.  Keadaan ini tidak ubah seperti kita melemahkan diri untuk mengkayakan orang lain. Fikirkan.

Faktor Kedua: Hiburan Ibarat 'Pain Killer'
Tenaga minda juga melemah akibat hiburan yang terlalu banyak.  Hiburan ini boleh diibaratkan sebagai ubat penahan sakit atau 'pain killer'.  Kita boleh mengambil 'pain killer' ini sekadar untuk mehilangkan sementara kesakitan yang dialami, tetapi ia tidak mampu untuk menyembuhkan penyakit kita sepenuhnya. Malahan jika diambil berlebihan ia akan menjadi racun di dalam badan dan mengakibatkan komplikasi yang lebih serius lagi.

Begitu juga dengan hiburan. Hiburan hanya mampu membuat kita terlupa kepada masalah kita untuk sementara. Walau bagaimanapun ia tidak mampu membantu kita menyelesaikan permasalahan tersebut. Andainya kita berhibur terlalu banyak maka minda akan menjadi lemah dan seterusnya manusia itu tidak mampu untuk berfikir secara rasional lagi. Ini banyak berlaku kepada generasi muda serata dunia. Lihat sahaja anak-anak muda yang berhibur terlalu banyak, mereka akhirnya akan terjebak dengan gejala sosial dan jenayah.

Media elektronik hari ini terlalu banyak menyiarkan rancangan berbentuk hiburan tanpa memikirkan implikasi yang bakal berlaku terhadap masyarakat. Daripada rancangan berbentuk realiti atau 'reality show' hinggalah kepada rancangan drama semuanya terlalu melalaikan. Kebanyakkan drama yang disiarkan amat rendah kualitinya. Langsung tidak ada nilai-nilai motivasi untuk meningkatkan semangat penonton. Isu yang banyak dipaparkan lebih kepada isu sama yang boleh didapati dalam bahan bacaan picisan.
Pengisian drama-drama yang ditayangkan tidak jauh lari daripada isu pembunuhan, isu tindas menindas, isu perebutan harta, isu rogol, isu hasad dengki, kemiskinan, anak derhaka, hantu serta banyak lagi isu-isu yang sinonim menjadi pilihan penerbit.

Bagaimana Minda Anda Berkerja?
Jika diamati, semakin kerap isu sebegini di ketengahkan, semakin ia menjadi-jadi di sekeliling kita. Ini sebenarnya hukum minda, semakin banyak anda lihat dan fikir, semakin banyaklah ia akan berlaku dalam realiti kehidupan. Tidak salah jika ia ditonton sebagai ikhtibar tetapi bukan sebagai hiburan yang kerap.

Masyarakat perlu sedar bahawa pihak yang terlibat hanya memikirkan keuntungan. Apabila masyarakat memilih dan menunjukkan minat terhadap bahan yang dipasarkan, maka lebih banyaklah isu yang sama akan dikeluarkan.

Hari ini kisah hantu menjadi pilihan ramai penerbit. Anak-anak kita didedahkan dengan pelbagai jenis hantu, daripada pontianak, saka, kum kum, toyol, orang minyak serta berpuluh lagi hantu yang entah betul ada atau tidak. Apa yang pastinya cerita yang sebegini hanya akan membuat anak-anak kita lemah mindanya. Kalau dulu dia seorang yang berani, kini lepas tengok cerita hantu, mula menjadi penakut. Aduh! Generasi yang takutkan hantu inikah yang bakal diangkat menjadi pemimpin? Sudah! Berhenti! Sedar dan berubahlah. Hanya kita yang mampu mengubah diri anda untuk mengubah kehidupan anda. Anda mampu melakukannya.

Faktor Ketiga: Siapa Rakan Anda?
Satu lagi faktor yang menjadi punca lemahnya tenaga minda seseorang adalah kerana rakan atau pergaulan sekeliling mereka.  Faktor ini juga tidak kurang sengitnya untuk dihadapi. Kita perlu tahu memilih rakan dan kawan. Apabila kita berkawan dengan orang yang lemah mindanya, dengan sendirinya minda kita juga turut lemah. Aktiviti yang boleh menyumbang kepada melemahkan minda adalah lepak. Sekiranya rakan dan sahabat kita kaki lepak, kita juga akan turut melepak. Sekiranya rakan atau sahabat kita kaki 'clubbing' kita juga turut 'clubbing'. Rakan dan sahabat penagih dadah, adalah mustahil kita tidak mencuba.

Faktor yang ketiga ini sememangnya berat untuk dilaksanakan. Kita amat susah untuk menukar rakan-rakan kita, kerana takut menyinggung perasaan mereka. Kita takut kawan-kawan kita kata akan mengutuk kita. Bila kita terfikir untuk bersikap positif kawan-kawan akan menganggap kita 'poyo'. Bila bercerita tentang kejayaan kawan-kawan akan kata kita angan-angan 'Mat Jenin'. Bila terasa nak buat perkara baik, kawan-kawan akan melemparkan 'senyum kambing' kepada kita. Perkara ini sememangnya berat dan amat sukar untuk dilaksanakan. Tetapi untuk mengubah kehidupan, kita mesti tekad melakukannya.

Seperti yang telah diceritakan pada awal tadi, minda bukan organ, minda adalah tenaga, sebab itu  ia tidak boleh dibangunkan daripada luaran. Oleh yang demikian tidak ada pemakanan atau produk yang mampu membangunkan tenaga minda. Produk atau pemakanan itu hanya membantu sistem tubuh menjadi sihat dan seterusnya membantu menyalurkan oksigen yang cukup ke otak.  Namun ia masih bersifat fizikal.

Bagaimana Perolehi Kekuatan Minda?
Makanan minda merupakan tenaga sihat yang dibekalkan melalui bahan bacaan yang berkualiti input daripada informasi yang sihat. Solat yang tetap dan khusyuk juga merupakan sumber yang terbaik kepada pembangunan minda. Selain itu, tenaga minda boleh dibangunkan dengan cara membaca atau mendengar ayat-ayat suci Al-Quran. Amalan zikir juga menyumbang kepada pembangunan tenaga minda. Menghadiri majlis ilmu juga tidak kurang hebatnya dalam menyumbang kepada pembangunan minda yang sihat dan kuat.

Manusia hebat dunia mengakui bahawa kekuatan spiritual amat penting dalam membentuk kekuatan minda. Selain daripada cara yang tersebut di atas, seseorang itu boleh melakukan teknik pernafasan, teknik meditasi, dan teknik fokus yang betul setiap hari sebagai bekalan makanan kepada minda. Latihan ini telah terbukti di guna pakai oleh orang-orang yang berjaya seluruh dunia. Teknik yang betul di praktikkan setiap hari disamping tidak meninggalkan suruhan dan tuntutan agama serta memupuk keyakinan yang teguh kepada Allah swt, akan menjamin tenaga minda yang hebat dan kuat.

Kenapa Perlu Kekuatan Minda?
Seseorang manusia yang memiliki kekuatan tenaga minda akan mampu mencipta destinasinya. Dia mampu mencipta impian dan merealisasikan semua impiannya. Dia juga mampu mengubah kehidupannya serta kedudukannya. Manusia yang memiliki kekuatan tenaga minda akan sentiasa berada di tahap tinggi berbanding dengan mereka yang lemah mindanya. Mereka akan sentiasa mendahului atau 'leading' dalam masyarakat, sedangkan yang lemah mindanya akan menjadi pengikut. Oleh yang demikian masyarakat harus membuka mata dalam hal ini. Selagi masyarakat tidak mempedulikan masalah ini dan tidak mengambil berat untuk mengatasinya, percayalah tidak ada apa yang akan berubah.

Telah tiba masanya kita pula yang meneroka dan membuka jalan bagi menerajui hidup kita. Untuk mencapai matlamat tersebut, berusahalah membangunkan tenaga minda kita. Evolusi Minda menjemput para pembaca sekalian untuk menghadiri seminar percuma kami yang diadakan pada setiap hujung minggu iaitu Sabtu jam 8.30 malam manakala Ahad jam 2.30 petang. Dalam seminar percuma  selama 3 jam ini, moderator kami, Puan Hajjah Arina Abbas akan memperkongsikan dengan peserta input tentang minda sedar dan minda separa sedar. Beliau juga memperkongsikan bagaimana untuk membangunkan tenaga minda. Peserta juga berpeluang bersoal jawab tentang minda bersama moderator kami. Untuk maklumat lanjut tentang seminar percuma ini dan berdaftar secara online, sila KLIK LINK yang tertera di bawah. Jadual dan peta juga terdapat di sana.
http://www.evolusiminda.com/seminar-percuma-em.html

Biodata Penulis

Puan Hajjah Arina Abbas merupakan Moderator Evolusi Minda, iaitu badan yang memberi latihan serta seminar berkaitan kuasa minda. Temui beliau di Seminar PERCUMA Evolusi Minda. Maklumat lanjut sila rujuk link di atas.

Original Source: http://www.pendekarberkuda.org/2011/04/tutorial-blog-cara-letak-button-share.html#ixzz1k6JZUYTy Under Creative Commons License: Attribution Share Alike

Kepadamu Wanita..Agar Dikau Bahagia..




Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.

Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-normanya dan menyucikan jiwanya.

Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.

Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi Rabb-Nya.

Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut, kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutan-Nya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.

Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.

Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.
Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.

Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah (pengajaran), diammu adalah berfikir.

Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.

Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.

Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.

- Artikel iluvislam.com


Original Source: http://www.pendekarberkuda.org/2011/04/tutorial-blog-cara-letak-button-share.html#ixzz1k6JZUYTy Under Creative Commons License: Attribution Share Alike